Wednesday 20 April 2016

KHASIAT KUNYIT

Kunyit telah sekian lama menjadi pelengkap jika tidak sebagai rempah ratus utama dalam masakan kita.  Hampir setiap rumah pasti mempunyai serbuk kunyit di dapur, digunakan sebagai salutan bersama garam untuk lauk bergoreng.  Manakala, khusus untuk penduduk Negeri Sembilan, kunyit merupakan rempah/herba utama digunakan dalam masakan harian mereka iaitu masak lemak kuning.

Namun pernahkah kita terfikir di sebalik kebiasaan tersebut, ia sebenarnya membawa banyak manfaat dari segi kesihatan untuk kita semua? Andai kita tahu, mungkin selepas ini, makin ramai yang akan memastikan kunyit menjadi bahan wajib untuk digunakan didalam masakan setiap hari.

Kunyit atau nama saintifiknya Curcuma Longa adalah sejenis tumbuhan di dalam keluarga halia. Bahagian yang kita namakan kunyit itu adalah akar tumbuhan tersebut.  Akar tersebut berwarna oren kekuningan di bahagian dalamnya dan inilah yang memberi warna kuning atau oren kepada masakan kita.

Khasiat utama kunyit ini datangnya dari bahan aktif di dalamnya yang bernama curcumin.  Walaupun kandungannya sedikit, iaitu cuma 3% dari berat kunyit, curcumin inilah yang mengandungi pelbagai khasiat kesihatan, antaranya:


1. Anti-Radang / Anti-Bengkak yang amat berkesan

Kehebatan kunyit dalam menghalang atau mengurangkan keradangan adalah setanding dengan ubatan moden yang mengandungi steroid.  Kelebihannya pula ialah ia tidak membawa kesan sampingan negatif seperti ulcer serta pendarahan intestin.






2. Anti-Oksida semula jadi

Proses metabolisme di dalam badan kita menghasilkan radikal bebas.  Andai berlebihan, ia akan membuka ruang untuk pelbagai jenis penyakit bertapak di dalam badan kita.  Dengan memakan kunyit, anti-oksidannya dapat membunuh radikal bebas ini.





3. Antiseptik

Kunyit atau serbuk kunyit boleh digunakan untuk merawat luka-luka kecil serta jerawat  Seeloknya hancurkan kunyit tersebut dan disapukan pada luka atau jerawat.  Ia memberi perlindungan daripada bakteria, membolehkan kulit melalui proses penyembuhan tanpa jangkitan kuman.

Banyak lagi faedah kesihatan dari kunyit.  Antara lain ialah meningkatkan fungsi otak dan memori, melawan kanser, serta membantu rawatan pesakit jantung.

Cuma perlu berhati-hati pada satu perkara ini.  Kekuatan warnanya kunyit akan menyebabkan tangan anda berwarna kuning dan ia mengambil masa yang lama untuk hilang.

Begitulah serba sedikit mengenai kunyit.  Semoga semua memperoleh ilmu berfaedah dari kami di Alam Merawat.

No comments:

Post a Comment